Tutup Aurat Kerana Apa?

.::: Dengan Nama Allah yg Maha Pengasih & Maha Penyayang :::.


Suatu hari, seorang gadis keluar rumah untuk menyidai pakaiannya. Dia meninjau ke luar rumah dan terus keluar tanpa memakai tudung. Lalu ibunya terlihat anak gadisnya tidak bertudung di luar rumah.


Ibu    : Kenapa kamu keluar tanpa memakai tudung?


Gadis: Kerana tiada sesiapa di luar ini. Pagi-pagi begini mana ada orang.


Ibu    : Oh, jadi kamu memakai tudung hanya ketika ada orang lelaki. Jika tiada, kamu bebas?


Gadis: Tetapi ibu, tindakan saya ini betul. Apa salahnya saya keluar begini dalam situasi seperti ini...


Ibu   : Kamu tutup aurat kerana apa? Kerana Allah atau adanya lelaki?


Seketika kemudian, si gadis berjalan masuk ke rumah.

Gadis: Menutup aurat adalah tuntutan agama Islam untuk memelihara maruah dan mengelakkan fitnah. Ia juga adalah perintah daripada Allah s.w.t. Allah memerintahkan wanita supaya menjaga auratnya daripada pandangan lelaki ajnabi. Bukan semata-mata menutup aurat tanpa sebab. Jadi, tidak salah sekiranya saya menutup aurat kerana tidak mahu dilihat oleh lelaki ajnabi...atas dasar perintah daripada Allah s.w.t.


**********


Apa yang dapat kita perhatikan dalam cerita ini?
Suatu hujah yang ringkas dan tepat tentang sebab keperluan menutup dan memelihara aurat kita. Berikut adalah garis had menutup aurat.


Bagi lelaki:
 - Hendaklah menutup auratnya daripada pusat hingga lutut.
 - Pakaian tidak menyerupai pakaian wanita.
 - Pakaian tidak terlalu ketat dan nipis sehingga menampakkan bentuk aurat.
- Tidak memakai baju / seluar pendek (depan khalayak ramai) yang boleh menampakkan aurat.





Bagi wanita
- Hendaklah menutup keseluruhan tubuh badannya KECUALI muka dan kedua tapak tangan.
- Melabuhkan tudung menutupi dada dan tidak menampakkan tengkuk.
- Baju yang menutupi pergelangan tangan (boleh pakai handsock/kancing baju)
- Pakaian longgar, labuh dan tidak jarang/nipis.
 - Pakaian tidak menyerupai pakaian lelaki.
 - Memakai stokin kaki.




Selain menutup aurat, wanita juga diekhendaki menjaga perhiasannya daripada diketahui orang ramai (di luar).
Di bawah ini saya sertakanbeberapa  firman Allah s.w.t dan hadis Rasulullah s..a.w.


1) "...dan janganlah kamu *bertabarruj seperti tabarujjnya orang-orang jahiliyyah terdahulu" (Al-ahzab : 23)


2) Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w.bersabda: 
'Siapa pun wanita yang memakai wangi-wangian,
 lalu mereka melalui kaum lelaki agar mendapat baunya,
    maka dia adalah penzina'. (HR An-Nasai, Abu Daud dan At-Termizi)

3) Daripada Ibnu Mas'ud r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w: ' Allah melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuatkan tatu, yang mencukur alis, yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah'. (HR Bukhari dan Muslim)

4) "Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan."
     ( An-Nur : 31 )


* Tabarruj bermaksud apabila wanita tidak menyembunyikan kecantikan wajah dan bentuk tubuhnya serta dia beranggapan baik untuk dipamerkan dengan tujuan menimbulkan ghairah nafsu kaum lelaki.


  Bagaimanapun, ia dibenarkan kepada para isteri untuk berbuat demikian di hadapan suami masing-masing.


Itulah sedikit perkongsian yang dapat saya sampaikan tentang fokus tajuk kali ini.
Teringat kata-kata sahabat saya yang dia ambil daripada Darul Nu'man,
" Andainya berlian dan intan dibungkus rapi serta disimpan dalam peti berkunci, 
  maruah seorang wanita apatah lagi..." 

Semoga kita semua mendapat manfaat dengan ilmu yang dipelajari dan istiqamah untuk mengamalkannya. Mudah-mudahan kita mendapat limpah nikmat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala :)

KL International Book Fair 2011

Assalamualaikum, pembaca sekalian...
Iman sihat? Ha...buat kawan-kawan yang sedang cuti semester, apa kata minggu ni kita singgah PWTC ?



22 April - 01 Mei 2011
Tarikh sepanjang Pesta Buku Antarabangsa kali ke ke-30 ini diadakan di Putra World Trade Centre, KL.
Selain daripada jualan buku-buku daripada pelbagai terbitan, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia turut menjalankan :

- Forum
- Perbincangan tentang tajuk-tajuk buku yang menarik
- Seminar Penulisan
- Pelancaran buku terbitan baru
- Sesi Autograf Penulis

...dan banyak lagi. Jomlah kita ramai-ramai memeriahkan suasana bersama-sama keluarga, saudara-mara, sahabat-handai, jiran-tetangga. Membaca itukan amalan yang mulia.




Untuk keterangan lanjut tentang KLIBF 2011, anda bolehlah lawati :
http://www.klibf.com.my/src/index.php

Hembusan Hidayah

KARYA : Juwairiyah Md. Jamil ( Penulis Terkenal )
EPISOD : Dirikanlah Solat dan Khusyuk dalam Solat


Aku berteleku di muka jendela yang luas ternganga. Angin malam yang segar nyaman menyapa lembut wajahku yang dipalit ketenangan menyaksikan kepermaian keindahan kampung datukku. Aman daripada kesibukan kota dan sepi daripada kebisingan deruman enjin kenderaan. Jarang sekali aku dapat menikmati suasana sebegini ketika berada di bandar. Yang ada hanya bangunan-bangunan pencakar langit yang kian menyesak padat dan kepulan-kepulan asap yang termuntah daripada corong-corong kilang gergasi. Aku lemas!


Aku persis orang tiada arah tujuan setelah selesai menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan untuk mengisi masa cuti yang terlalu panjang. Puas aku ke hulu ke hilir tanpa tujuan sehingga akhirnya aku sendiri bosan dengan suasana di sekelilingku. Lantaran itu, ibu yang kasihan melihat keadaanku mengusulkan cadangan agar aku bercuti di kampung datuk. 

"Amin, dah solat maghrib?" Suara datuk yang muncul secara tiba-tiba menjadikan lamunanku tergendala. Aku berpaling ke belakang dan melihat datuk sedang berdiri di muka pintu kamarku yang ternganga tanpa secalit senyuman. Aku menelan liur. Gulp!




"Su...sudah, tuk!" Terdengar suaraku bergetar.

"Hmm, bagus! Sekarang mari makan," ujar datuk sambil melemparkan segaris senyuman.

Aku sedikit lega memandang senyuman mesra datuk itu. Meredakan kekalutan yang mencucuk-cucuk tangkai hati. Aku segera mengekori datuk ke dapur. 

"Ha, Amin. Duduklah makan..."pelawa nenek yang sedang menyendukkan nasi ke dalam pinggan kaca bercorak bunga-bunga merah kecil. Aku menarik kerusi dan duduk di sebelah datuk. Nenek menghulurkan semangkuk ikan tenggiri masak asam pedas kepadaku.

"Makan kenyang-kenyang, Min. Lepas makan nanti ikut tuk ke surau. Kita dengar kuliah maghrib. Lepas tu kita terus solat isyak berjemaah," kata datuk sambil memandangku yang leka menyudu kuah asam pedas ke dalam pinggan. 

"Apa, tuk? Kuliah maghrib? Kuliah apa tu, tuk?" Aku memandang datuk penuh persoalan." Kuliah agama. Cakap pasal Islam, iman, tauhid, fikah dan macam-macam lagi. Makanlah dulu. Nanti kau tahulah..." Datuk terus menyuapkan nasi ke dalam mulutnya tanpa memandang ke arahku.

Usai makan malam, aku dan datuk berjalan beriringan ke surau yang tidak jauh dari rumah datuk bersuluhkan lampu picit. Ketika memijak anak tangga masjid, aku terdengar suara seorang lelaki sedang menyampaikan kuliah agamanya. Aku dan datuk pantas duduk bersila di barisan ketiga jemaah yang hadir. Aku memandang datuk. Datuk khusyuk menghayati setiap bait kata yang sedang disampaikan oleh ustaz tersebut.

"Dengar dan hayati apa yang ustaz tu cakap!" Datuk berbisik perlahan ke telingaku. Tegas. Aku yang merasakan itu seakan-akan arahan, lantas mematuhinya.

" Islam telah menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar ianya menjadi ibadah dan taat kepada Allah sepertimana firmanNya dalam Surah Ad-Dhariyat ayat 56." Ustaz muda berwajah bersih yang kepalanya dililiti serban putih berjalur hitam itu membacakan ayat AlQuran  yang dimaksudkan dan disusuli pula dengan terjemahannya sekali. Aku tekun mendengarnya.




"Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku...seterusnya Allah berfirman lagi dalam Surah Al-An'am ayat 162 yang mana maksudnya, : Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah semata-mata untuk Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, kita hendaklah memastikan ibadah kita mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah yang dikatakan martabat keihsanan dalam beribadah.  Bagi menjelaskan makna ihsan ini,  Rasulullah sendiri pernah ditanya oleh malaikat Jibril tentang martabat ihsan, lalu Rasulullah bersabda : Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya sekalipun, sebenarnya Dia melihat engkau."

Aku kian seronok mendengar kuliah ustaz muda tersebut. Sempat aku mengerling ke arah datuk. Datuk masih khusyuk mendengar dan menanti bicara selanjutnya daripada ustaz muda itu...Ustaz muda membasahkan tekak dengan meneguk segelas air sebelum menyambung kuliahnya.


"Kita mestilah melakukan ibadah dengan penuh khusyuk sehingga kita dapat merasai kelazatan dan kemanisannya, malah mendatangkan kekuatan kepada kita untuk berterusan mengerjakannya. Sebagai conyoh, Rasulullah melakukan solat dengan khusyuk seolah-olah baginda tidak lagi mengenali manusia di sekelilingnya. Tumpuannya ketika itu hanyalah kepada Allah."


Ustaz muda berhenti seketika dan memandang jemaah yang hadir.


" Tetapi bagaimana solat kita? Adakah solat yang kita lakukan selama ini telah sampai kepada martabat ihsan? Adakah solat kita selama ini khusyuk? Rasulullah pernah memberitahu kita bahawa kebanyakan orang yang solat hanya mendapat penat dan letih. Ini menunjukkan solat yang tidak khusyuk! Hassan Al-Basri meriwayatkan, bahawa setiap solat yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia lebih hampir kepada siksaan." Ustaz muda diam sejurus. Kembali merenung kitab di hadapannya yang ternganga.


"Allah telah menjanjikan neraka bagi orang yang lalai dalam solatnya. Jadi bagaimana pula dengan orang yang langsung tidak mengerjakan solat?" Ustaz muda merenung muka-muka di hadapannya satu persatu. " Tentulah balasannya lebih lagi!" Ustaz muda sengaja menekan suara.


Mukaku menjadi merah padam. Terasa kata-kata itu ditujukan kepadaku. Terkena batang hidung sendiri. Aku sempat memerhati orang-orang di sekelilingku. Semua turut menundukkan kepala. Aku memandang datuk. Aku terkejut. Pandanganku bertaut dengan pandangan datuk. Datuk merenungku. Aku terus tertunduk.


Aku diserbu rasa takut  mengenangkan kata-kata ustaz muda. Orang yang lalai dalam solat akan masuk neraka. Orang yang tidak melakukan solat juga akan dimasukkan ke dalam neraka malah lebih lagi!


Neraka?  Aku tidak tahu apa itu khusyuk dan bagaimana mahu khusyuk dalam solat. Aku tidak pernah diberitahu dan diajarkan tentangnya oleh sesiapa. Aku juga pernah meninggalkan solat. Banyak kali. Ibu dan ayah tidak pernah bertanya sama ada aku solat atau tidak. Jadi, aku hanya solat jika aku rasa mahu solat. Tetapi di rumah datuk, aku bersolat setiap hari sebab datuk akan bertanyakan tentangnya pada setiap kali waktu solat. Datuk garang! Aku takut... Tapi setelah mendengar kuliah ustaz muda, aku mahu solat bukan kerana takut kepada  datuk, tapi aku takut kepada Allah. Aku takut neraka Allah. Aku tak mahu masuk neraka! Sebab itu ketika solat Isya' secara berjemaah, aku cuba menumpukan perhatianku sepenuhnya kepada Allah. Seolah-olah aku melihat Dia, tetapi aku tidak melihatNya. Cuma aku yakin Dia melihatku. Selesai solat , aku berdoa banyak-banyak agar Allah tidak masukkan aku ke dalam neraka-Nya.


"Tuk...Apa itu khusyuk?" Soalan itu meletus dari kedua-dua bibirku ketika aku dan datuk beriringan berjalan pulang meredah kegelapan malam. Datuk memandangku sekilas dan tersenyum. "Khusyuk ialah merasakan kehadiran Allah di dalam hati. Kalau kita sedang solat  kita rasa seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah. Sedang berhubung dan berkomunikasi denganNya".


"Bagaimana nak khusyuk, tuk?"


"Kalau nak khusyuk, Amin kena faham setiap bacaan tu. Ketika membaca bacaan-bacaan tu, Amin kena hayati pula apa yang Amin baca. Semasa solat, pandang tepat ke tempat sujud agar Amin boleh fokuskan hati dan fikiran hanya kepada Allah. Faham, Amin?"


"Faham, tuk!" jawabku sambil memikir-mikirkan jawapan yang datuk berikan.



Motivasi Belajar

Lagi 3 hari akan menjelang Imtihan Akhiruntuk Semester 2 tahun ni. Setelah beberapa hari berlalu, terasa betapa ruginya bila kita membuang masa...dan semakin hampir dengan hari peperiksaan, semakin rasa xsempat nak habiskan ulangkaji pelajaran. Hmm,, sedikit perkongsian daripada blog http://www.layarsukses.com. 


  • Sebelum menghadapi peperiksaan ni anda boleh mewujudkan cabaran di dalam diri anda. Ini bagi memberikan anda sedikit semangat kerana peperiksaan yang bakal dihadapi nanti. Contohnya: Kalau orang lain boleh mengapa saya tidak boleh melakukannya???. Tapi jangan sampai anda merasa tertekan pulak ye. Biar cabaran itu menjadi pembakar semangat untuk anda jadi lebih yakin nanti. Insyaallah anda boleh melakukannya.
  • Disamping itu anda hendaklah fikirkan kejayaan anda didalam peperiksaan nanti. Bayangkan yang anda dapat menjawab soalan dengan tepat ketika menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan nanti. Maka sudah tentu anda akan merasa sangat puas hati. Bayangkan betapa gembiranya anda semasa melihat keputusan yang diumumkan bahawa anda berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. ketika itu rakan-rakan, guru-guru dan ibu bapa anda memberi ucapan tahniah kepada anda. Pemikiran seumpama ini, Insyaallah akan dapat meningkatkan motivasi anda terhadap peperiksaan anda yang anda akan hadapi nanti.
  • Perbaiki dan tingkatkan sikap, pemikiran dan kemahiran anda terutama untuk anda menjadi pelajar yang berjaya didalam peperiksaan. Perbaikilah sikap anda dengan menjadi lebih baik. Ubah sikap anda dari malas menjadi rajin dan daripada rajin menjadi lebih rajin lagi. Pemikiran pula jangan berfikir secara negatif. Fikiran secara positif seperti yang saya bagi dalam langkah yang sebelum ini. Dan akhir sekali kemahiran anda. Anda perlu mempunyai kemahiran-kemahiran seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan. Iaitu anda perlu menguasai setiap subjek yang dipelajari dan anda menguasai teknik-teknik untuk menjawab soalan di dalam peperiksaan nanti.
  • Anda perlu ingat yang anda terlalu sibuk belajar sekalipun jangan sampai lupakan Allah, ibu bapa dan guru-guru kita. Anda perlu dan mempunyai tanggungjawab pada setiap perkara dalam kehidupan seharian anda. Anda terlalu sibuk belajar untuk menghadapi peperiksaan tapi sampai anda abaikan solat anda maka tiada gunanya anda belajar untuk peperiksaan itu. Begitu juga dengan ibu bapa anda. Jangan abaikan setiap suruhan yang ibu bapa anda minta dengan alasan yang anda terlalu sibuk belajar untuk peperiksaan ini. Cuba penuhi permintaan ibu bapa anda itu. Jika ibu bapa anda berada jauh dari anda selalulah hubungi mereka untuk bertanya khabar dan meminta doa mereka supaya mendoakan anda didalam peperiksaan nanti. Insyaallah doa ibu bapa adalah sangat mustajab. Kepada guru-guru yang banyak mencurahkan ilmu-ilmu didada mintalah dihalalkan segala ilmu yang diajar selam ini. Mintalah doa daripada guru-guru anda juga. Dengan ini insyaallah ilmu-ilmu yang anda pelajari selama ini akan mendapat keberkatan.
  • Akhir sekali, selepas meminta doa dari ibu bapa dan guru-guru anda, maka tinggal diri anda sendiri untuk berdoa memohon kepada  Allah supaya memberi pertolongan kepada anda semasa menjawab peperiksaan nanti. Di masa-masa terakhir sebelum menghadapi peperiksaan ini anda perlu mendekatkan diri kepada Allah supaya anda diberi ketenangan dan semangat olehNya. Banyakkan membaca Al Quran, berzikir dan berselawat kerana ia dapat memberi ketenangan dalam hati anda. Ia dapat membuang perasaan bimbang dan takot didalam hati anda. Perbanyakkan juga solat hajat dan meminta doa kepada Allah dengan sepenuhnya dan Insyaallah anda akan diberi pertolongan olehNya.
Mudah-mudahan perkongsian ini akan memberi manfaat kepada kita sebagai dorongan dan persediaan menghadapi hari dan detik untuk mencapai kejayaan.  =)


الحمد لله All Praises to Allah =)

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t
Buat kali ke-2 saya berjaya menghasilkan satu blog yang ' simple ' dan ' cute '...Secret of ShuShi akan menceritakan apa sahaja perkara yang dialami oleh ShuShi dalam kehidupan sehariannya. InsyaAllah setiap daripada kandungan akan disertakan iktibar atau pun panduan yang bernas khusus untuk kita semua. Semoga percubaan kali ini akan menghasilkan impak yang maksimum melalui daya yang optimum.