Hembusan Hidayah

KARYA : Juwairiyah Md. Jamil ( Penulis Terkenal )
EPISOD : Dirikanlah Solat dan Khusyuk dalam Solat


Aku berteleku di muka jendela yang luas ternganga. Angin malam yang segar nyaman menyapa lembut wajahku yang dipalit ketenangan menyaksikan kepermaian keindahan kampung datukku. Aman daripada kesibukan kota dan sepi daripada kebisingan deruman enjin kenderaan. Jarang sekali aku dapat menikmati suasana sebegini ketika berada di bandar. Yang ada hanya bangunan-bangunan pencakar langit yang kian menyesak padat dan kepulan-kepulan asap yang termuntah daripada corong-corong kilang gergasi. Aku lemas!


Aku persis orang tiada arah tujuan setelah selesai menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan untuk mengisi masa cuti yang terlalu panjang. Puas aku ke hulu ke hilir tanpa tujuan sehingga akhirnya aku sendiri bosan dengan suasana di sekelilingku. Lantaran itu, ibu yang kasihan melihat keadaanku mengusulkan cadangan agar aku bercuti di kampung datuk. 

"Amin, dah solat maghrib?" Suara datuk yang muncul secara tiba-tiba menjadikan lamunanku tergendala. Aku berpaling ke belakang dan melihat datuk sedang berdiri di muka pintu kamarku yang ternganga tanpa secalit senyuman. Aku menelan liur. Gulp!




"Su...sudah, tuk!" Terdengar suaraku bergetar.

"Hmm, bagus! Sekarang mari makan," ujar datuk sambil melemparkan segaris senyuman.

Aku sedikit lega memandang senyuman mesra datuk itu. Meredakan kekalutan yang mencucuk-cucuk tangkai hati. Aku segera mengekori datuk ke dapur. 

"Ha, Amin. Duduklah makan..."pelawa nenek yang sedang menyendukkan nasi ke dalam pinggan kaca bercorak bunga-bunga merah kecil. Aku menarik kerusi dan duduk di sebelah datuk. Nenek menghulurkan semangkuk ikan tenggiri masak asam pedas kepadaku.

"Makan kenyang-kenyang, Min. Lepas makan nanti ikut tuk ke surau. Kita dengar kuliah maghrib. Lepas tu kita terus solat isyak berjemaah," kata datuk sambil memandangku yang leka menyudu kuah asam pedas ke dalam pinggan. 

"Apa, tuk? Kuliah maghrib? Kuliah apa tu, tuk?" Aku memandang datuk penuh persoalan." Kuliah agama. Cakap pasal Islam, iman, tauhid, fikah dan macam-macam lagi. Makanlah dulu. Nanti kau tahulah..." Datuk terus menyuapkan nasi ke dalam mulutnya tanpa memandang ke arahku.

Usai makan malam, aku dan datuk berjalan beriringan ke surau yang tidak jauh dari rumah datuk bersuluhkan lampu picit. Ketika memijak anak tangga masjid, aku terdengar suara seorang lelaki sedang menyampaikan kuliah agamanya. Aku dan datuk pantas duduk bersila di barisan ketiga jemaah yang hadir. Aku memandang datuk. Datuk khusyuk menghayati setiap bait kata yang sedang disampaikan oleh ustaz tersebut.

"Dengar dan hayati apa yang ustaz tu cakap!" Datuk berbisik perlahan ke telingaku. Tegas. Aku yang merasakan itu seakan-akan arahan, lantas mematuhinya.

" Islam telah menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar ianya menjadi ibadah dan taat kepada Allah sepertimana firmanNya dalam Surah Ad-Dhariyat ayat 56." Ustaz muda berwajah bersih yang kepalanya dililiti serban putih berjalur hitam itu membacakan ayat AlQuran  yang dimaksudkan dan disusuli pula dengan terjemahannya sekali. Aku tekun mendengarnya.




"Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku...seterusnya Allah berfirman lagi dalam Surah Al-An'am ayat 162 yang mana maksudnya, : Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah semata-mata untuk Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, kita hendaklah memastikan ibadah kita mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah yang dikatakan martabat keihsanan dalam beribadah.  Bagi menjelaskan makna ihsan ini,  Rasulullah sendiri pernah ditanya oleh malaikat Jibril tentang martabat ihsan, lalu Rasulullah bersabda : Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya sekalipun, sebenarnya Dia melihat engkau."

Aku kian seronok mendengar kuliah ustaz muda tersebut. Sempat aku mengerling ke arah datuk. Datuk masih khusyuk mendengar dan menanti bicara selanjutnya daripada ustaz muda itu...Ustaz muda membasahkan tekak dengan meneguk segelas air sebelum menyambung kuliahnya.


"Kita mestilah melakukan ibadah dengan penuh khusyuk sehingga kita dapat merasai kelazatan dan kemanisannya, malah mendatangkan kekuatan kepada kita untuk berterusan mengerjakannya. Sebagai conyoh, Rasulullah melakukan solat dengan khusyuk seolah-olah baginda tidak lagi mengenali manusia di sekelilingnya. Tumpuannya ketika itu hanyalah kepada Allah."


Ustaz muda berhenti seketika dan memandang jemaah yang hadir.


" Tetapi bagaimana solat kita? Adakah solat yang kita lakukan selama ini telah sampai kepada martabat ihsan? Adakah solat kita selama ini khusyuk? Rasulullah pernah memberitahu kita bahawa kebanyakan orang yang solat hanya mendapat penat dan letih. Ini menunjukkan solat yang tidak khusyuk! Hassan Al-Basri meriwayatkan, bahawa setiap solat yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia lebih hampir kepada siksaan." Ustaz muda diam sejurus. Kembali merenung kitab di hadapannya yang ternganga.


"Allah telah menjanjikan neraka bagi orang yang lalai dalam solatnya. Jadi bagaimana pula dengan orang yang langsung tidak mengerjakan solat?" Ustaz muda merenung muka-muka di hadapannya satu persatu. " Tentulah balasannya lebih lagi!" Ustaz muda sengaja menekan suara.


Mukaku menjadi merah padam. Terasa kata-kata itu ditujukan kepadaku. Terkena batang hidung sendiri. Aku sempat memerhati orang-orang di sekelilingku. Semua turut menundukkan kepala. Aku memandang datuk. Aku terkejut. Pandanganku bertaut dengan pandangan datuk. Datuk merenungku. Aku terus tertunduk.


Aku diserbu rasa takut  mengenangkan kata-kata ustaz muda. Orang yang lalai dalam solat akan masuk neraka. Orang yang tidak melakukan solat juga akan dimasukkan ke dalam neraka malah lebih lagi!


Neraka?  Aku tidak tahu apa itu khusyuk dan bagaimana mahu khusyuk dalam solat. Aku tidak pernah diberitahu dan diajarkan tentangnya oleh sesiapa. Aku juga pernah meninggalkan solat. Banyak kali. Ibu dan ayah tidak pernah bertanya sama ada aku solat atau tidak. Jadi, aku hanya solat jika aku rasa mahu solat. Tetapi di rumah datuk, aku bersolat setiap hari sebab datuk akan bertanyakan tentangnya pada setiap kali waktu solat. Datuk garang! Aku takut... Tapi setelah mendengar kuliah ustaz muda, aku mahu solat bukan kerana takut kepada  datuk, tapi aku takut kepada Allah. Aku takut neraka Allah. Aku tak mahu masuk neraka! Sebab itu ketika solat Isya' secara berjemaah, aku cuba menumpukan perhatianku sepenuhnya kepada Allah. Seolah-olah aku melihat Dia, tetapi aku tidak melihatNya. Cuma aku yakin Dia melihatku. Selesai solat , aku berdoa banyak-banyak agar Allah tidak masukkan aku ke dalam neraka-Nya.


"Tuk...Apa itu khusyuk?" Soalan itu meletus dari kedua-dua bibirku ketika aku dan datuk beriringan berjalan pulang meredah kegelapan malam. Datuk memandangku sekilas dan tersenyum. "Khusyuk ialah merasakan kehadiran Allah di dalam hati. Kalau kita sedang solat  kita rasa seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah. Sedang berhubung dan berkomunikasi denganNya".


"Bagaimana nak khusyuk, tuk?"


"Kalau nak khusyuk, Amin kena faham setiap bacaan tu. Ketika membaca bacaan-bacaan tu, Amin kena hayati pula apa yang Amin baca. Semasa solat, pandang tepat ke tempat sujud agar Amin boleh fokuskan hati dan fikiran hanya kepada Allah. Faham, Amin?"


"Faham, tuk!" jawabku sambil memikir-mikirkan jawapan yang datuk berikan.